Halaman

6 Ogos 2011

Malaikat Kecil – Tapi Ayah, Adakah Manusia Tidak Masuk Neraka Jika Hari Hujan

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama. Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah.

Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat. Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”. Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?” Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya. Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut.

Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan. Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka. Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”. Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” . Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”. Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini.

Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.” Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati.

Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat. Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum.

Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini. Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut.

Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi. Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka. Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk. Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..

Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.

Diambil dari,

28 Julai 2011

Nakba Dan Malapetaka

Oleh
Hishamuddin Rais

Setiap tahun pada 15 Mei warga Palestine akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel telah dipacakkan keatas bumi Arab. Justeru pada tarikh ini warga Palestine diseluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini. 

Semenjak 15 Mei 1948 – warga Palestine telah berhadapan dengan segala macam kesangsaraan. Tanah mereka dirampas. Rumah merdeka diroboh. Mereka kehilangan harta benda. Kehilangan hak demokrasi. Kehilangan kampong halaman. Rakyat Palestine diserang, dibunuh dan dihalau dari kampong halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara. 

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestine. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestine.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini yang dieja dengan M huruf besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti – Semenanjung Tanah Melayu dibawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula 5 wilayah Melayu – Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874 melalui Perjanjian Pangkor kuasa kolonial Britsh telah memasuki jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British dibawa jagaan Raja England dan bukan lagi dibawah East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijeh. British telah juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi bagitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari China dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh China dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan : dimana ada penindasan disana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampoh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British. 

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura.PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh China di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan China. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empire British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun – Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi British Military Administration masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun. 

Kini gerakan nasionalisma telah mengampoh dan laungan kemerdekkan kedengaran disana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS) – semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British scara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini - United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelor, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation – 1946 – agak lewat. Muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama Putera. 

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan Hidup Melayu. Para pembaca yang budiman, perhatikan betul betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oxygen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerja sama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu Melayu, China China dan India India. Maka lahirlah Perikatan. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan Perikatan masih lagi Melayu, China dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA – badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu. 

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminn, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk mengahalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa : Mereka bukan bangun menentang British tapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jika tidak percaya apa yang saya tulis ini – sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti – media milik United Malay National Organisation akan membuka kesah-kesah bodoh dimana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi barua British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila Parti Konunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata – apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation? 
Sejarah jelas membuktikan – gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini. 

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai Merdeka; gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk Merdeka. Untuk saya kalau perbuatan ini bukan kerja barua British maka Rosmah Mansor itu masih lagi dianggap anak dara sunti.

Justeru, sebagai balasan menjadi barua yang setia , pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Untuk saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka bertujun untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestine membolehkan tanah-tanah Palestine dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampong Baru dan Kampong Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat 6 warga penyokong Bersih sedang ditahan tanpa bicara.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun – pada 10 Ogos 1511 – Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan disini bahawa Nakba di Palestine pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestine berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Diambil dari,
http://tukartiub.blogspot.com/2011/07/nakba-ialah-malapetaka.html